PASUKAN Fauzio FC B muncul juara kategori Lelaki Bawah 18 Tahun pada Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 selepas menewaskan RSP FC 2-0 pada aksi final petang kelmarin.
Ramai menyangka nama pasukan itu mungkin bersempena pengurus atau jurulatihnya yang bernama Fauzi.
Tanggapan itu silap kerana nama Fauzio FC sebenarnya diinspirasikan daripada nama pengurusnya iaitu seorang wanita bernama Fauziah Ibrahim.
Menurut Fauziah, pasukan Fauzio FC membariskan para pemain dari sekitar Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur termasuklah anaknya sendiri.
"Sebagai ibu, inilah cara saya untuk memastikan anak saya serta rakan-rakannya mempunyai aktiviti berfaedah dengan menyertai kejohanan futsal. Kami mula aktif sejak Oktober tahun lalu.
"Ini merupakan kejayaan terbesar dan kami memang tak sangka dapat menjuarai kategori Bawah 18 Tahun ini kerana banyak pasukan kuat yang turut serta.
"Sasaran awal hanya untuk mara ke separuh akhir," katanya selepas perlawanan petang kelmarin.
Namun kejayaan berganda gagal diraih Fauziah apabila satu lagi pasukan mereka, Fauzio FC A yang beraksi pada kategori Larut Malam gagal menempatkan diri di kedudukan terbaik.
"Kami juga menghantar satu pasukan gabungan pemain kedua-dua pasukan ini untuk kategori Superstar tetapi gagal mara lebih jauh," jelas Fauziah.
Fauzio FC B membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, RSP FC (RM2,500), tempat ketiga KFK Junior (RM1,500) dan tempat keempat Court Soccer Jr. (RM1,000).
0 comments:
Post a Comment